EBook Jejak Islam Yang Hilang

………

Wahai hati semaklah pada syariat dan tarikat

Jauh lagi pada hakikat dan makrifat

Di mana titik temunya membina martabat

Sampai jazam, fana dan pada Nya terlalu dekat

 

Wahai hati kembalilah kepada Ilahi!

Menyusur jalur terang pada hakikat kejadian diri

Sampai mampu merasai dan yakin sedang dikuasai

Hancur jasad mu namun roh tidak sekali-kali mati

 

Wahai hati kembalilah kepada Ilahi!

Jalannya berliku syaitan dan nafsu mengelilingi

Waspadalah pada detik waktu yang diberkati

Sepertiga malam bangun dan sujud mengabdi diri

……..

Demikian antara petikan beberapa puisi yang menghiasi buku ini. Buku ini adalah nukilan pengembaraan muhasabah diri penulis ketika melalui detik detik ujian Allah SWT mengalami sakit selama sebulan lebih. Kesunyian di kamar rumah pada waktu siang atau malam hari telah dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan coretan muhasabah diri ini sehingga kemudiannya dapat disusun diedit dan dibukukan selepas empat tahun kemudian.

 

Buku ini mengandungi enam bab yang bertujuan untuk menjelaskan beberapa perkara seperti yang berikut:

Bab 1 -  Apakah nilai dan amalan ummat Islam yang telah terhakis atau hilang masa kini? 

Bab 2 - Terus membicarakan kerosakan jati diri umat Islam masa kini. Kehilangan yang semakin parah!

Bab 3  - Tanda aras dan jalan-jalan mengenal Allah SWT?

Bab 4  - Bagaimana amalan seterusnya untuk menuju jalan Allah

Bab 5 – Bagaimana mengisi Garis Amalan Harian (GAH) dan

Bab 6 -  Meneruskan pengisian GAH sehingga merasai kekuasaan dan pengawasan Allah SWT.

 

Gaya penulisan cuba diringkaskan bagi memudahkan pembaca memahaminya. Kebanyakan hujah disandar dengan dalil al-Quran dan Hadis Sahih. Memetik pandangan ulama silam, ahli dan pencinta Islam melalui pelbagai sumber yang dapat dicapai melalui internet dan khazanah buku simpanan penulis. 

 

Penulis menyemak dan menapis pelbagai pandangan dengan dalil yang muktabar. Akhirnya memilih, mengulas dan menyatakan pandangan yang serba kekurangan ini.  Diharap semuanya masih dalam landasan yang satu yakni menuju keredhaan Allah SWT.

 

Bermula dengan muhasabah diri, keluarga dan masyarakat di susuli dengan kaedah tafakur, memberi makna kepada semua amalan melalui niat, menyemak dengan syariat dan akhirnya merasai keagungan dan penguasaan Allah terhadap diri sendiri. Demikian sebenarnya makna hakikat dan makrifat yang perlu dicapai.

 

Penulis merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan kesyukuran atas kesediaan Utz Zainal Ariffin pensyarah Kolej Uniti Port Dickson dan pendakwah bebas dalam usaha menyemak dan memberi maklum balas penulisan buku ini. Tidak lupa juga kepada bekas pensyarah saya di UKM dahulu,  Prof Hashim Minhat atas teguran dan pandangan menjernih dan memperbetulkan kesilapan yang dikesan.

 

Kepada penulis-penulis dari sumber yang dipetik dalam blog mahupun website, penulis memohon keizinan memetik kata ungkapan yang baik dan semoga dapat dipanjangkan manfaatnya melalui buku ini. Semoga Allah jua yang akan memberi ganjaran atas segala hasil buah fikiran tuan-puan yang dihormati.

 

Diharapkan pembaca boleh menggerakkan minda memikir, bermuhasabah diri tentang tajuk yang diperkatakan, menilai semula Garis Amalan Harian (GAH) masing-masing dan bertekad untuk beramal memperbaiki hablumminAllah dan hablumminannas – hubungan diri kepada Allah dan hubungan diri sesama manusia. 

Semoga akhirnya penulis dan pembaca sama-sama mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Dr. Hj. Othman bin Sodikin